Friday, May 22, 2009

Mensyukuri Kedudukan Sekarang


Baru-baru ini saya mengendalikan satu kursus khas untuk penjawat awam. Rata-rata peserta dalam kumpulan saya adalah daripada kumpulan sokongan. Seronok bersama mereka.

Saya bertanyakan kepada mereka tentang kejayaan paling besar dalam kehidupan mereka. Pada awalnya, agak sukar untuk mereka fikirkan. "Apa ya kejayaan aku? Macam tiada jak? SPM gagal...". Itulah antara bisikan mereka. Namun setelah seketika, mereka seperti tersenyum sebagai tanda menemui jawapan kepada persoalan saya itu. Kesemua 16 ahli kumpulan saya mengatakan mendapat tempat atau kerja di jabatan kerajaan merupakan satu kejayaan yang paling besar dan bermakna dalam diri mereka.

Ada yang pernah dihalau dari rumah hanya kerana belum mempunyai kerjaya tetap. Ada pula terpaksa meminta-meminta pertolongan orang lain ketika isteri melahirkan anak. Dan macam-macam lagi cerita sejarah kehidupan mereka sebelum mempunyai kerjaya sekarang.

Mereka nampaknya amat bersyukur dan menikmati kehidupan sekarang. Ada yang menitiskan air mata biarpun bergelar sebagai lelaki.

Bagaimana dengan kita? Adakah kita mensyukuri apa yang kita miliki hari ini?

Tersentuh dengan soalan yang saya ajukan sendiri. Dahulunya saya mempunyai pekerjaan bersama jabatan kerajaan dan kemudiannya meletakkan jawatan hanya semata-mata mahu bergelar usahawan. Adakah saya tergolong antara yang tidak bersyukur? Wallahu a'lam.

Pernah sekali saya dan isteri bertemu kawannya, seorang pengusaha restoran. Baginya, bersyukur bukan setakat mengucap Alhamdulillah dan berdoa. Namun, bersyukur baginya adalah setiap rezeki yang diperolehinya mestilah sebahagiannya membantu orang yang memerlukan. Pernah sekali ketika makan di restorannya, datang seorang gila yang tak berpakaian. Orang ramai hanya memerhatikannya. Dia pula mengarahkan pekerjanya menyediakan makanan untuk orang gila itu. Katanya, "Kesian bah dia tu. Tidak juga aku rugi. Tapi, sekali aku bagi makan, aku perasan, orang semakin ramai datang ke restoran selepas itu."

Fikir kan....

No comments:

Post a Comment