Friday, April 17, 2009

Siapa Kita Di Dunia Ini?



Buat teman-teman yang sering memperkatakan tentang perjuangan bangsaku,

Masih terngiang di telinga ini suatu lagu yang aku tercari-cari senikatanya semasa aku sekolah dulu. Lagu yang menceritakan tentang bangsaku. “Anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi…” Setakat itu saja senikata yang aku ingat di zaman sekolah dulu. Kini ia menjadi nyanyian ku di mana-mana. Ketika memandu, mendodoikan anakku, ketika mandi, ketika mencari ilham, hinggakan bunyi deringan telefon bimbitku pun menggunakan irama lagu ini.

Aku tertarik dengan senikatanya. Tabiat bangsa yang jijik diceritakan dalam lagu itu. Aku ingat lagu itu menceritakan tentang suatu keadaan di suatu tempat yang jauh daripada aku. Rupanya di sebelah ku. Di tempat aku menyalurkan perjuanganku yang kini aku rasa geli mahu menyebutnya sebagai perjuangan. “Akibat sengketa sesamalah kita…” Mati-mati aku ingatkan lagu ini tentang perbalahan orang Melayu sahaja. Tapi rupanya persengketaan dalam menegakkan perjuangan siapa yang betul, dan siapa yang salah. Dan akhirnya ada yang menjadi mangsa.

Kadang-kadang aku terfikir, adakah aku berkecimpung dalam perjuangan ini adalah untuk memenuhi cita-cita peribadiku atau untuk memenuhi cita-cita bangsaku yang sejati. Ish.. Argh… Migrain aku dibuatnya.

Siapalah kita di bumi ini? Kita diletakkan di suatu kedudukan bukan untuk kita bermegah dengannya. Ia adalah amanah Allah. Memang sejak dahulu manusia begitu bodoh dan jahil. Mengaku kuat rupanya lemah. Dahulu Allah cuba menurunkan amanah kepada bukit untuk dipikul, namun bukit enggan menerimanya. Kalau diterimanya, berkecailah ia. Tapi, manusia dengan machonya telah menerima amanah itu. Siapa besar, bukit atau manusia? Tapi, manusia memang hebat. Akalnya mampu mengatasi besarnya alam ini, hinggakan manusia lupa di mana asal usulnya.

Allah Maha Pengasih Maha Pemurah. Diutusnya kita dengan kedudukan kita adalah sebagai tanda kasih sayangNya kepada seluruh manusia. Diutusnya Rasul sebagai kasihNya untuk memastikan manusia tidak berada dalam kesesatan. Diutusnya doktor untuk menunaikan amanah mentadbir dan membantu manusia dalam menangani masalah kesihatan.

Berhentilah bercakap mengenai sistem nilai. Muak sudah aku mendengar perkataan perjuangan dari mulut-mulut mereka yang bacul sedangkan mereka pun tidak memahami erti perjuangan sebenar. Aku yang menulis ini pun entah faham atau tidak erti perjuangan.

Sahabat-sahabatku, aku rindukan suasana yang dulu. Aku rindukan keharmonian dalam keluarga perjuangan ku ini. Aku rindukan ‘lantai perjuangan’ yang pernah menjadi tempat permainanku. Aku juga merindukan kualiti dasar ini yang pernah membentuk aku menjadi insan yang tahu menilai buruk dan baik. Aku rindukan percambahan idea yang bersih dan matang. Aku rindukan segalanya yang pernah wujud dulu. AKU RINDUKAN PERJUANGAN. Sabarlah sahabat-sahabatku yang ikhlas dalam pengorbananmu. Berjuang ertinya berkorban dan terkorban. Ingat, kalau kita sudah berada di hadapan, jangan lupa menoleh ke belakang. Kesan-kesan tapak kaki kita di belakang itulah yang membentuk kita di hadapan. Kesan-kesan itulah yang mengizinkan untuk kita berada di hadapan. Mungkin juga di belakang itu kita meninggalkan kesakitan pada yang lain. Mungkin kita terpijak semut. Kasihan… Tidak perlulah aku jelaskan lagi, rasanya sahabat-sahabat faham kata-kataku ini. Ingat, kita ini ibaratnya hanya sebagai pelari dalam acara 4 x 100 meter lari berganti-ganti. Kita hanya meneruskan larian orang yang dahulu. Biarlah kita meneruskan larian itu dalam larian yang hebat agar orang terdahulu tidak menyalahkan kita. Dan larian kita nanti akan diteruskan oleh orang lain. Walaupun kemenangan akan ditentukan oleh pelari terakhir, namun biarlah pelari-pelari terdahulu memberikan keselesaan kepadanya untuk membuktikan kemenangan kita. Dalam kehidupan, biarlah prinsip kita tidak menjahanamkan orang lain.

Akhir sekali, “ANAK KECIL MAIN API…” Rupanya bukan cerita tentang orang lain, tentang DIRI KU.

Maaf andainya tidak faham.

Wassalam. Dariku, PELARI KE-3

No comments:

Post a Comment